|
Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat
dari melihat bangsaku
dijajah,
Tidak ada yang lebih
menyedihkan dari
membiarkan bangsaku
dihina,
Airmata tiada
ertinya,
sejarah silam
tiada maknanya,
sekiranya
bangsa tercinta terpinggir,
dipersenda
dan dilupakan,
Bukan kecil
langkah wira bangsa
para pejuang
kemerdekaan
bagi
menegakkan kemuliaan dan darjat bangsa
selangkah
bererti mara mengharung sejuta dugaan
Biar bertatih
asalkan
langkah itu yakin dan cermat
bagi
memastikan negara merdeka dan bangsa terpelihara,
air mata
sengsara mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita,
Tugas kita
bukan kecil
kerana
mengisi kemerdekaan
rupanya lebih
sukar dari bermandi keringat
dan darah
menuntutnya
Lagi pula
apalah ertinya kemerdekaan
kalau
bangsaku asyik mengia dan menidakkan
mengangguk
dan membenarkan kerana
sekalipun
bangganya negara
kerana makmur
dan mewahnya,
Banngsaku
masih melata dan meminta-minta di negaranya sendiri
Bukan kecil
tugas kita meneruskan perjuangan kemerdekaan kita,
kerana
rupanya selain memerdekakan,
mengisi
kemerdekaan itu jauh lebih sengsara
Bangsaku
bukan kecil hati dan jiwanya
bukankah
sejak zaman berzaman
mereka
menjadi pelaut, pengembara
malah
penakluk terkemuka?
Bukankah
mereka sudah mengembangkan sayap,
menjadi
pedagang dan peniaga,
selain
menjadi ulama dan ilmuan terbilang?
Bukankah
bangsaku pernah mengharung samudera
menjajah
dunia yang tak dikenal
Bukankah
mereka pernah menjadi wira serantau
yang tidak
mengenal erti takut dan kematian?
Di manakah
silapnya hingga bangsaku
berasa begitu
kecil dan rendah diri?
Apakah
angkara penjajah? lalu bangsaku mulai
melupakan
kegemilangan silam dan sejarah gemilang membina empayar
Tugas kita
belum selesai rupanya
bagi
memartabat dan memuliakan bangsa
kerana hanya
bangsa yang berjaya
akan sentiasa
dihormati
Rupanya masih
jauh dan berliku jalan kita
bukan sekadar
memerdeka dan mengisinya
tetapi
mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya
Hari ini,
jalan ini pasti semakin berliku
kerana masa
depan kita belum tentu menjanjikan syurga
bagi mereka
yang lemah dan mudah kecewa
Perjuangan
kita belum selesai kerana
hanya yang
cekal dan tabah
dapat membina
mercu tanda bangsanya yang berjaya.
Nukilan:
Tun Dr Mahathir Mohamad
Mei 1996 |