|

Tun Dr. Siti Hasmah
Mohd Ali
Tun Dr.
Siti Hasmah Mohd. Ali dilahirkan pada tanggal 12 Julai 1926 di
Kampung Jawa, Klang, Selangor. Bekas Wanita Pertama Malaysia
yang keempat ini merupakan seorang daripada doktor wanita yang
pertama di Malaysia dan merupakan Pegawai Perubatan wanita
pertama di negeri Kedah. Dr. Siti Hasmah memulakan pengajiannya
di Methodist Girls School, Kuala Lumpur. Beliau adalah di antara
wanita Melayu pertama yang ditawarkan melanjutkan pelajaran
dalam bidang perubatan di King Edward VII Collage of Medicine,
Singapura.
Pada tahun 1955, beliau telah menerima Ijazah Doktor Perubatan
daripada Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Singapura dan
kemudian berkhidmat di dalam perkhidmatan perubatan kerajaan.
Sepuluh tahun kemudian, beliau merupakan wanita pertama dilantik
sebagai Pegawai Perubatan di dalam Bahagian Kesihatan Ibu
Mengandung dan Kanak-kanak, dan pada 1974, beliau juga merupakan
wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Negeri Ibu
Mengandung dan Kanak-Kanak.
Dr. Siti Hasmah merupakan penulis kepada beberapa artikal dalam
perubatan keluarga dan faktor sosioekonomi yang berkaitan dengan
mengandung dan pembesaran kanak-kanak di Malaysia.
Beliau juga menaburkan jasa kepada negara melalui penglibatan
yang aktif dan memegang jawatan dalam pegerakan sosial seperti
Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Pengerusi Persatuan
Perancang Keluarga Negeri Kedah, Presiden Persatuan Yayasan
Perubatan Malaysia, Presiden Persatuan Pemulihan Kanak-kanak
Cacat, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan
Perancangan Keluarga Malaysia, Penasihat Persatuan Kesihatan Ibu
Mengandung dan Neonatal dan Penasihat Persatuan Pediatrik
Malaysia.
Dr. Siti Hasmah merupakan seorang wanita tabah yang sentiasa
berada di sisi suami tersayang untuk sama-sama merasai kehidupan
sama ada sewaktu susah mahupun senang.
Sebagai satu-satunya gadis Melayu ketika itu yang melanjutkan
pelajaran dalam bidang kedoktoran, hubungan sebagai kawan
seperjuangan dirapatkan lagi dengan ikatan perkahwinan yang
kekal sehingga ke hari ini.
Kasih sayang yang terjalin semakin mendalam dengan kehadiran
anak-anak tersayang.
Kedudukan beliau sebagai doktor perubatan dan isteri kepada
Perdana Menteri membolehkan beliau menjalankan banyak
tugas-tugas kemasyarakatan dengan tujuan memberikan
kesejahteraan yang lebih baik kepada rakyat di negara ini
khususnya berkenaan kesihatan wanita, perancangan keluarga,
kawalan penyalahgunaan dadah dan buta huruf di kalangan orang
dewasa.
Sebagai bekas Presiden BAKTI (Badan Kebajikan Isteri Menteri dan
Timbalan Menteri), beliau aktif menjalankan pelbagai usaha
mendidik remaja Malaysia tentang bahaya penyalahgunaan dadah
sehingga dijemput menghadiri First Ladies' Conference on Drug
Abuse di Washington DC. Jemputan pada tahun 1985 itu
dilakukan sendiri oleh Nancy Reagan, bekas wanita Pertama
Amerika Syarikat juga isteri kepada Presiden Ronald Reagon (mendiang)
Sebagai seorang yang berpelajaran tinggi, beliau sedar akan
kepentingan pendidikan kepada masyarakat khususnya para wanita
bagi memperbaiki kehidupan mereka. Sebab itulah beliau banyak
menarajui persatuan yang mempunyai kaitan tentang wanita dan
anak-anak seperti pengerusi Persatuan Perancangan Keluarga
Kedah, Presiden Pandu Puteri Malaysia, Presiden Yayasan
Persatuan Perubatan Malaysia dan banyak lagi.
Walaupun beliau banyak menyumbang bakti kepada rakyat seluruh
negara namun rakyat Kubang Pasu tetap berada hampir di hatinya.
Ini terbukti apabila beliau menjadi Penasihat Utama Yayasan
Pembangunan Masyarakat Kubang Pasu dan melaksanakan pelbagai
aktiviti terutamanya aktiviti pendidikan kepada warga Kubang
Pasu.
Segala jasa, sumbangan dan semangat dedikasi beliau dalam
kerja-kerja kemasyarakatan sememangnya telah membolehkan beliau
memperolehi banyak penghargaan antaranya Anugerah Kazue McLaren
oleh Asia Pacific Consortium for Public Health pada 1988,
Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Sains Perubatan pada 1991
oleh Universiti Kebangsaan Malaysia dan juga pingat dari Yang
Dipertua Agong, Sultan Selangor dan Sultan Kedah.
Selain daripada itu, kewibawaan beliau semasa menjadi Wanita
Pertama begitu ketara sehinggga dijemput menghadiri First
Ladies Summit for the Economic Advancement of Rural Women di
Geneva oleh Queen Fabiola dari Belgium pada tahun 1992.
Di persidangan tersebut, Tun Dr. Siti Hasmah telah terpilih
sebagai seorang daripada enam Core-Group Initiators of First
Ladies yang mewakili rantau Asia Pasifik. Di persidangan
tersebut jugalah Geneva Declaration on Rural Women
disahkan bagi merumus dasar-dasar dan program-program untuk
memajukan ekonomi para wanita di kawasan pedalaman.
Komitmen beliau dalam memperjuangkan kesejateraan wanita luar
bandar dan pedalaman begitu disanjung tinggi oleh rakan-rakan
seperjuangan beliau apabila pada September 1995, beliau dilantik
sebagai pengerusi Regional Steering Committee on the Economic
Advancement of Rural and Island Women bagi rantau Asli
Pasifik.
Kesibukan beliau sememangnya tidak menghalang beliau aktif
bersukan untuk menjaga kesihatan badan dan badminton ialah sukan
yang mempunyai nilai sentimental dalam dirinya.
Pada 21 Jun lalu, jawatankuasa Sukan dan Wanita Majlis Olimpik
Malaysia (MOM) telah menganugerahkan beliau Anugerah Sukan dan
Wanita 2004 bagi menghargai segala sumbangan beliau dalam sukan
badminton.
Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ini sangat aktif
melibatkan diri dalam hal ehwal sukan badminton negara sehingga
beliau dianggap sebagai ibu kepada para pemain badminton negara.
Kejayaan beliau yang paling manis adalah apabila Malaysia
berjaya membawa pulang Piala Thomas pada tahun 1992 selepas
kali terakhir piala tersebut berada di negara ini pada tahun
1985.
Walaupun sibuk dengan tugas sebagai Wanita Pertama negara dan
juga hal-hal kemasyarakatan, beliau masih mempunyai masa untuk
bersama-sama anak-anak dan cucu-cucu kesayangan di samping
melakukan kegiatan yang menjadi kegemaran di waktu lapang.
Tun Dr. Siti Hasmah telah membuktikan bahawa kaum wanita mampu
memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Sumbangan
kaum wanita melalui contoh yang ditunjukkan oleh Dr. Siti Hasmah
merupakan pemangkin ke arah mewujudkan sebuah negara yang aman,
makmur dan harmoni.
Sumber: Buku Majlis Konvokesyen Khas Sempena Penganugerahan
Ijazah Kehormat
Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan) Kepada
Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad
dan Ijazah Kehormat Doktor
Falsafah (Pengurusan Kerja Sosial) kepada Y.A.Bhg. Tun Dr. Siti
Hasmah binti Mohd Ali. |