|

Tun Dr. Mahathir
Mohamad
Perdana Menteri Malaysia
Keempat
1981 - 2003
"Bapa Pemodenan"
Tun
Dr. Mahathir dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember
1925. Putera kepada pasangan Mohamad bin Iskandar dan Wan
Tempawan binti Wan Hanafi ini dilahirkan di rumah bernombor 18,
Lorong Kilang Ais, bersebelahan dengan Jalan Pegawai, Seberang
Perak, Alor Setar, Kedah.
Beliau merupakan anak bongsu dikalangan sembilan orang
adik-beradik. Dr. Mahathir memulakan alam persekolahan di
Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun.
Beliau melanjutkan pengajian menengah di Goverment English
School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul
Hamid. Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang
cemerlang pada tahun 1945.
Dalam
tahun 1947, selepas tamat pengajian peringkat menengah, Dr.
Mahathir telah ditawarkan biasiswa Kedah untuk melanjutkan
pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII College of
Medicine, Singapura. Semasa di Kolej, beliau merupakan seorang
pelajar yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran, aktif
dalam sukan ragbi dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan
pelajar-pelajar lain.
Pada
tahun 1953, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan (M.B.B.S)
dari University of Malaya. Berbekalkan kelulusan berkenaan, Dr.
Mahathir telah memulakan perkhidmatannya dalam kerajaan dengan
menjadi doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada
tahun 1954, Dr. Mahathir telah dilantik sebagai Pegawai
Perubatan di Hospital Besar Alor Setar bagi memenuhi kontrak
biasiswanya. Beliau juga telah memberikan khidmat perubatan di
Langkawi, Jitra dan Perlis.
Perkenalan dengan seorang gadis dari Selangor bernama
Siti
Hasmah Mohd Ali (kini Tun Dr. Siti Hasmah) yang mengikuti bidang
pengajian yang sama di King Edward VII Collage of Medicene
berlanjutan sehingga mereka menamatkan pengajian masing-masing.
Hubungan erat yang terjalin semasa di Singapura telah diakrabkan
lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri
pada Ogos 1956. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tujuh
orang cahayamata iaitu Marina (kini Datin Paduka Marina), Mirzan,
Melinda, Mokhzani (kini Datuk Mohzani), Mukriz ( kini Datuk
Mukriz), Maizura dan Mazhar.
Pada
tahun 1957, setelah tamat kontraknya dengan kerajaan, Dr.
Mahathir dengan bantuan dan kerjasama Dr. Siti Hasmah telah
membuka klinik persendirian yang bernama Klinik MAHA, di Jalan
Tunku Ibrahim, Alor Setar. Klinik MAHA merupakan klinik Melayu
pertama di Negeri Kedah. Selain daripada perkhidmatan perubatan,
klinik MAHA juga telah menjadi pentas untuk beliau menjalankan
aktiviti-aktiviti perkhidmatan komuniti setempat.
Keperihatinan beliau terhadap masalah ekonomi dan politik Melayu
telah diluahkan dalam bentuk rencana-rencana yang diterbitkan
oleh Sunday Times di bawah nama pena 'C.H.E Det' antara tahun
1946-1950. Penulisan merupakan satu dari minat Dr. Mahathir
hinggalah ke hari ini. Pada tahun 1945, semasa beliau masih
dibangku sekolah, Dr. Mahathir telah menjadi penyunting
Darulaman, majalah rasmi keluaran Kolej Sultan Abdul Hamid.
Beliau juga berkhidmat sebagai penyunting sebuah majalah yang
diterbitkan oleh kolej perubatan di mana beliau menuntut.
Kegigihan dan semangat untuk menyuarakan pendapat melalui
penulisan telah menyebabkan beliau menghasilkan pelbagai jenis
penerbitan termasuklah buku "Dilema Melayu" yang diterbitkan
dalam tahun 1970.
Selain daripada menulis, Dr. Mahathir juga merupakan seorang
yang rajin membaca dan berpegang tuguh kepada prinsip bahawa
pembelajaran adalah proses seumur hidup. Tuntutan profesional
dan politik juga tidak menghalang beliau untuk menjadikan seni
pertukangan kayu sebagai satu hobi. Dr. Mahathir dikenali
sebagai seorang yang kreatif dan pernah mengikuti kursus
pertukangan kayu di Great Britain untuk mempertingkatkan tahap
kemahiran beliau. Dalam tahun 1989, berdasarkan minat yang
berterusan dalam bidang ini, Dr. Mahathir telah dianugerahkan
Honorary Freedom of the Worshipful Company of Carpenters oleh
British Carpenters Society.
Penglibatan Dr. Mahathir di dalam arena politik tidak begitu
ketara dalam tahun-tahun 1950an disebabkan beliau masih menuntut
di Universiti. Walau bagaimanapun, beliau terus menulis esei dan
komentar mengenai isu-isu sosio-politik negara di akhbar The
Straits Times. Perletakan jawatan sebagai doktor kerajaan pada
tahun 1957 telah membolehkan Dr. Mahathir bergiat semula didalam
bidang politik. Beliau telah dipilih untuk bertanding pada
pilihanraya negeri tahun 1959, tetapi menolaknya.
Semasa pilihanraya umum tahun 1964, Dr.Mahathir diberi
kepercayaan menjadi calon dan seterusnya berjaya memenangi
kerusi Parlimen Kota Setar di atas tiket Parti Perikatan.
Bermula dari sinilah beliau menempa nama di kalangan masyarakat
dan senario politik negara.
Selepas memenangi pilihan raya umum pada tahun 1964, Dr.
Mahathir dilantik sebagai Ahli Parlimen. Bagaimanapun, beliau
hilang kerusi pilihan raya umum berikutnya iaitu pada tahun
1969.
Kecenderungan dan minatnya yang mendalam dalam bidang pendidikan
membolehkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pendidikan
Tinggi yang pertama tahun 1968, Ahli Majlis Penasihat Pendidikan
Tinggi pada tahun 1972, Member Of the University Court and
University of Malaya council serta Chairman of the National
University Council pada tahun 1974. Dr. Mahathir dilantik
sebagai Senator pada tahun 1974. Beliau melepaskan jawatan ini
untuk membolehkannya bertanding pada pilihan raya umum tahun
1974 yang mana beliau menang tanpa bertanding.
Berikutan daripada pilihanraya itu, Dr. Mahathir dilantik
sebagai Menteri Pelajaran. Sebagai Menteri Pelajaran, langkah
pertama dalam perancangan beliau adalah mengubah polisi
pendidikan negara supaya ianya menggambarkan usaha-usaha ke arah
menghapuskan kemiskinan dan mewujudkan keadilan untuk semua dan
memastikan semua individu diberi peluang membaiki taraf hidup
mereka. Sepanjang menjadi Menteri Pelajaran, beliau mengekalkan
pembaharuan seperti peluang yang lebih kepada anak Melayu
melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi, mengubah
kuota kemasukan, dan beberapa kriteria kemasukan ke pusat-pusat
tersebut, mengadakan biasiswa dan menubuhkan Maktab Rendah
Sains Mara (MRSM).
Beliau juga bertanggungjawab meminda Akta Universiti dan Kolej
Universiti 1975 yang ditentang oleh ahli akademik dan mereka
yang terlibat dengan pendidikan. Akan tetapi sebagai seorang
yang berdisplin dan tegas beliau berjaya melenyapkan kritikan
terhadap polisi-polisi pendidikan. Kini semua pusat pengajian
tinggi diuruskan di bawah Panduan Kementerian Pendidikan.
Kemenangan beliau di dalam pertandingan kerusi Naib Presiden
dalam Perhimpunan Agong UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu) tahun 1975 telah menyumbang kepada kejayaan politik
beliau.
Berikutan kembalinya Tun Abdul Razak ke Rahmatullah dan
perlantikan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri Malaysia
ke-3 dan Presiden UMNO, Dr. Mahathir telah dilantik menjadi
Timbalan Perdana Menteri dimasa yang sama menjadi Timbalan
Presiden Parti.
Daripada jawatan Menteri Pendidikan, Dr. Mahathir berpindah ke
Kementerian Perdagangan dan Industri dalam tahun 1978. Beliau
juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Kabinet dimana
beliau tidak putus-putus menggalakkan perdagangan dan pelaburan
asing.
Kemenangan Dr. Mahathir dalam pilihanraya umum tahun 1978 telah
membolehkan beliau mengekalkan jawatannya di dalam kabinet dan
parti. Akhirnya, pada 16 Julai 1981 berikutan perletakan jawatan
Perdana Menteri oleh Tun Hussien Onn atas sebab kesihatan, Dr. Mahathir telah dipilih menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri
yang ke- 4 pada usia 55 tahun.
Dr.
Mahathir digelar "Bapa Pemodenan Malaysia" dan merupakan
pemimpin yang paling lama memegang jawatan sebagai Perdana
Menteri, iaitu dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003.
Sepanjang 22 tahun beliau memegang jawatan pentadbiran tertinggi
negara, banyak kemajuan dan pembangunan yang telah beliau
rancang dan laksanakan. Walaupun kadangkala cetusan idea dan
wawasan beliau kurang difahami, namun hakikatnya beliau
merupakan seorang yang berpandangan jauh dan terkehadapan, malah
lebih jauh daripada pemikiran orang Melayu khususnya.
Pada
tahun 1997, majalah Asiaweek telah menamakan Dr.Mahathir sebagai
antara 50 individu yang paling berkuasa di Asia, dimana beliau
menduduki tempat kedua dalam senarai yang dikeluarkan oleh
majalah tersebut.
Penamaan beliau memang tepat kerana ekonomi dunia ketika itu
berada dalam kegawatan manakala krisis matawang melanda
kebanyakan negara di dunia terutamanya negara-negara di Asia
seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.
Dr.
Mahathir berjaya mengawal kegawatan ekonomi dengan menambat
ringgit kepada dollar Amerika, satu pendekatan yang mendapat
kritikan hebat pada mulanya oleh badan kewangan dunia seperti
Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF). Terbukti
kesannya, Malaysia adalah satu-satunya negara yang berjaya
melepaskan diri daripada belenggu kegawatan tersebut tanpa perlu
'mengikat diri' kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh IMF
seperti yang berlaku kepada negara-negara lain di Asia. Malah,
Pengurus Besar IMF, Horst Kohler, pernah memuji tindakan yang
diambil Dr. Mahathir dalam mengawal matawang negara.
Kedudukan beliau sebagai Chief Executive Officer (CEO) Malaysia
adalah sesuai dan tepat dengan visi yang beliau rancang dan
sasarkan. Dr. Mahathir telah mengubah sektor ekonomi asas negara
daripada sebuah negara yang berasaskan pertanian kepada sebuah
negara berasaskan perindustrian. Detik-detik awal beliau
diamanahkan menjadi Perdana Menteri Malaysia, sektor ekonomi
negara pada ketika itu banyak bergantung kepada bahan komoditi
utama seperti getah, kelapa sawit, timah dan industri petroleum
yang masih lagi diusahakan secara kecil-kecilan.
Memandangkan komoditi tidak dapat membantu mewujudkan lebih
banyak peluang pekerjaan, maka pada awal tahun 1980-an Dr.
Mahathir telah membuat keputusan untuk mempelbagaikan kegiatan
ekonomi negara dan sekaligus mengurangkan pergantungan terhadap
bahan komoditi. Keputusan yang beliau ambil adalah tepat kerana
pada pertengahan tahun 1980-an, harga bahan-bahan komoditi jatuh
dengan teruk. Hal ini ditambah pula dengan peningkatan harga
matawang Yen yang menyebabkan berlaku kegawatan ekonomi selama
beberapa tahun.
Kini,
kebergantungan ekonomi negara terhadap bidang perindustrian
begitu ketara apabila sektor perkilangan membentuk 30% daripada
asas ekonomi negara manakala sektor pertanian menurun kepada 8%
sahaja berbanding 23% kira-kira 22 tahun lalu.
Dr.
Mahathir telah memperkenalkan dasar Persyarikatan Malaysia iaitu
suatu dasar dimana Malaysia diandaikan sebagai sebuah syarikat
dan rakyatnya sebagai pekerja dan pemegang saham. Beberapa
agensi kerajaan telah diswastakan untuk meringankan bebebanan
kewangan dan kerajaan. Dimasa pentadbirannya banyak
syarikat-syarikat utiliti seperti Lembaga Letrik Negara, Jabatan
Telekom dan sebagainya, telah disenaraikan sebagai korporat awam.
Persyarikatan Malaysia telah berjaya meningkatkan prestasi, daya
pengeluaran serta imej negara. Di antara langkah-langkah lain,
ialah peningkatan pembagunan industri berat dan yang penting
juga pertukaran teknologi asing kepada teknokrat Malaysia. Salah
satu kejayaan didalam gerakan ini ialah penubuhan industri
otomatif negara, yang menunjukkan kereta-kereta dan motosikal
nasional adalah yang terlaris di Malaysia. Persyarikatan juga
bertujuan menjana kerjasama dan bekerja sebagai rakan kongsi
antara sektor awam. Dr. Mahathir juga meningkatkan penyertaan
bumiputera dalam pemilikan saham sektor perusahaan dan
perdagangan dengan penubuhan Permodalan Nasional Berhad (PNB)
dan Amanah Saham Nasional serta Amanah Saham Bumiputera dan
beberapa saham amanah dalam porfolio PNB.
Dalam
usaha melakar nama negara di arena antarabangsa, pelbagai projek
gergasi telah diilhamkan oleh Dr. Mahathir. Antara yang terawal
ketika beliau baru memegang jawatan sebagai Perdana Menteri
ialah projek pengeluaran kereta proton melalui HICOM (Heavy
Industries Corporation of Malaysia).
Walaupun projek beliau ini dianggap agak keterlaluan
memandangkan negara ketika itu masih muda dalam projek pembuatan
kereta nasional namun negara kita boleh berbangga kerana projek
ini begitu berjaya sehingga mampu bersaing dengan pengeluar
kereta lain di seluruh dunia.
Sebagai orang yang memegang tampuk tertinggi pengurusan negara,
masalah kewangan sering menjadi perhatian beliau dan antara
tugas penting beliau adalah memastikan perbelanjaan kewangan
negara berada dalam keadaan terkawal.
Dasar
penswastaan negara ialah contoh pengurusan kewangan beliau yang
agak memberangsangkan walaupun mencetus kontroversi di awal
perlaksanaannya. Dasar yang diperkenalkan di penghujung tahun
1980-an ini bertujuan mengurangkan perbelanjaan oleh pihak
kerajaan di samping memberi perkhidmatan yang lebih baik.
Walau
banyak pihak mempersoalkan dasar ini, disebabkan terdapat
tuduhan berlaku sikap pilih kasih terhadap syarikat yang
ditawarkan projek-projek kerajaan, namun lebih ramai orang dapat
menikmati hasil yang lebih baik daripada dasar yang dibuat ini.
Selain itu, dasar ini juga membawa perubahan yang sangat besar
terutamanya dalam bidang teknologi kerana pihak-pihak yang
terbabit perlu mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi untuk
memastikan perkhidmatan yang ditawarkan murah tetapi bermutu
tinggi.
Kebijaksanaan Tun Dr. Mahathir dalam mengurus 'perniagaan'
sememangnya sesuatu yang semula jadi kerana beliau pernah
menjadi usahawan muda di Pekan Rabu, Alor Setar semasa masih
berada di alam persekolahan.
Selain projek kereta nasional, satu lagi projek besar (mega
project) yang beliau cetus ialah Koridor Raya Multimedia atau
Multimedia Super Corridor (MSC). Projek ini ilhamkan dan
direalisasikan memandangkan Dr. Mahathir telah sedar akan peri
pentingnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam dunia
perdagangan masa kini dan masa depan.
Projek-projek besar yang dibangunkan dan direalisasikan semasa
beliau menjadi 'CEO' Malaysia antaranya ialah Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Stadium Nasional Jalil, Litar
Antarabangsa Sepang, tempat perlumbaan sukan permotoran
berprestij, Formula One dan Menara Berkembar Petronas.
Projek-projek ini secara tidak langsung berjaya meletakkan
Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun yang dikenali
dunia. Malah corak pentadbiran dan ketegasan yang ditunjukkan
oleh Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri menyebabkan
negara ini disegani dunia.
Sepanjang tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir
telah membawa Malaysia ke persada kecemerlangan. Malaysia telah
melalui pelbagai pembaharuan fizikal, mental dan sosial.
Malaysia telah menjadi negara yang disegani dan dihormati di
pentas dunia. Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama
rendah dikalangan negara-negara maju dunia. Kejayaan Malaysia
sebagai negara membangun dan sebuah negara Islam yang unggul di
rantau ini telah diiktiraf dunia. Warisan pusaka yang
ditinggalkan oleh Dr. Mahathir dapat kita lihat berada di mana
sahaja.
Sumber: Buku Majlis Konvokesyen Khas Sempena Penganugerahan
Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan) Kepada
Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dan Ijazah Kehormat Doktor
Falsafah (Pengurusan Kerja Sosial) kepada Y.A.Bhg. Tun Dr. Siti
Hasmah binti Mohd Ali. |